Jangan tidak tahu, bunga bukan sahaja sesuai dijadikan hiasan di laman dan dalam rumah atau diberikan kepada insan tersayang.
Malah, tumbuhan ini juga boleh dijadikan penawar untuk pelbagai jenis penyakit. Jadi mari kita singkap rahsia di sebalik kecantikannya.
Malah, tumbuhan ini juga boleh dijadikan penawar untuk pelbagai jenis penyakit. Jadi mari kita singkap rahsia di sebalik kecantikannya.
Cempaka
Bunga ini mempunyai banyak khasiat untuk mengubati penyakit. Antaranya, air daun cempaka boleh diminum wanita lepas bersalin. Ambil beberapa helai daun pokok cempaka kuning. Bersihkannya terlebih dahulu sebelum direbus. Biarkan air rebusan sejuk sedikit dan barulah diminum.
Bagi yang sering berhadapan dengan masalah kencing tidak lawas, anda boleh minum air rebusan bunga cempaka kuning. Bersihkan beberapa kuntum bunga, kemudian rebus sehingga mendidih. Biarkan sejuk sedikit sebelum diminum.
Akar bunga ini juga baik untuk mengubati demam selesema. Bersihkan akar cempaka kuning dan rebus sehingga mendidih. Biarkan sehingga suam kemudian minum.
Kekwa
Hanya kekwa jenis chrysanthemum coronarium saja yang boleh dimakan. Kekwa spesis ini mengeluarkan bunga kuning yang sesuai untuk dibuat teh. Perlu dibiarkan sehingga 10 minit sebelum diminum. Bunganya dipercayai mampu menghapuskan bakteria dan memperkuatkan saluran kapilari.
Sering digunakan dalam perubatan termasuk pemulihan demam selesema, menyejukkan badan dan amat sesuai digunakan untuk mengubati demam, melegakan kerongkong dan meredakan pening kepala serta untuk mencerahkan mata. Rendam kelopak bunga dengan air panas. Tuskan dan bungkus dengan kain. Boleh diletakkan pada bahagaian mata untuk menghilangkan gatal.
Bunga Raya
Sebenarnya, bunga ini banyak khasiatnya terutamanya daripada spesis Bunga Raya putih. Daunnya boleh menurunkan suhu badan sewaktu demam. Caranya ialah dengan merendam daunnya di dalam air. Ramas daun sehingga mengeluarkan lendir. Kemudian rendam tuala kecil di dalam air itu dan letakkan di dahi. Ulang beberapa kali sehingga suhu badan anda menurun.
Selain itu daunnya juga boleh mengatasi masalah rambut gugur. Bersihkan daun terlebih dahulu dan ramasnya di dalam bekas sehingga keluar air kehijauan. Basahkan rambut menggunakan air itu dan biarkan selama beberapa minit. Kemudian bilas. Amalkan beberapa kali untuk melihat hasilnya.
Bunga raya atau nama saintifiknya adalah botaninya hibiscus rosa sinensis, tergolong dalam keluarga Malvaceae mengandungi musilaj polisakarid & pectin serta asid organic, glikosid sianidin ( bahan antiestrogen), dan mempunyai sejenis lendir atau mucin yang memberikan rasa sejuk di kerongkong serta rongga paru-paru. Ekstrak dari bunganya pula baik untuk kesihatan kerana kaya dengan antioksidan yang dapat mengawal tahap kolestrol di dalam badan kita.
Melati
Daunnya boleh menyembuhkan demam berdarah. Caranya, rebus tujuh helai daun melati, 125 g belimbing dengan 250 ml air sehingga menjadi satu gelas air sahaja. Biarkan sejuk dan tapis sebelum diminum. Minum lapan gelas sehari selama tiga hari berturut-turut.
Jika anda sakit mata seperti merah atau gatal-gatal, tumbuk segenggam daun melati sehingga halus. Kemudian letak pada dahi dan biarkan sehingga kering kemudian gantikan dengan yang baru. Ulang sehingga sembuh.
Bagi yang menghidap radang usus, anda boleh rebus segenggam daun melati hutan dengan tiga gelas air sehingga menjadi satu gelas. Tapis dan minum dua kali sehari. Manakala bagi radang ginjal pula, anda boleh merebus 15 g daun melati kering dengan dua gelas air sehingga menjadi satu gelas. Minum dua kali sehari sehingga air kencing kembali normal.
0 Ulasan