SERDANG: Penghidap diabetes yang menggemari jagung namun terpaksa menahan selera kerana kandungan gulanya yang tinggi kini mempunyai alternatif apabila jagung hitam atau waxy corn supreme, dikenal pasti sesuai untuk diet golongan itu.
Pengarah Bahagian Hortikurtur Jabatan Pertanian Malaysia, Abdul Daut berkata ini kerana baka jagung berwarna ungu kehitaman dengan nama saintifik Zea May itu adalah kurang manis berbanding baka jagung biasa bewarna kuning yang terdapat di pasaran tempatan.
Beliau berkata kadar kemanisan jagung hitam boleh disifatkan 'kurang banyak' jika dibandingkan dengan jagung lain sekali gus cukup sesuai untuk penghidap diabetes yang perlu mengawal pengambilan makanan manis dalam diet mereka.
"Jagung hitam juga memiliki kadar antioksidan tinggi yang baik untuk kesihatan tubuh badan manusia," katanya ketika ditemui Bernama di Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia, di sini hari ini.
Tambahnya, tanaman jagung hitam lebih cepat matang dan masak berbanding jagung biasa dengan hasil boleh dituai dalam masa 60 hari berbanding baka lain yang memerlukan tempoh lebih lama iaitu antara 70 hingga 80 hari.
Bagaimanapun, Abdul berkata oleh kerana rasanya yang kurang manis, jagung hitam pada asasnya kurang mendapat permintaan dalam pasaran tempatan dan tidak dikomersialkan.
"Jagung hitam agak sukar didapati malah kurang dikenali di negara ini dan kebiasaanya hanya ditanam oleh orang persendirian di beberapa kawasan. Untuk baka yang dipamerkan di HPPNK ini kita peroleh dari Bukit Temiang, Perlis," katanya.
Bertemakan 'Makanan Kita, Masa Depan Kita', sambutan HPPNK 2017 yang bermula Khamis lalu sehingga esok membawa pelbagai komponen antaranya Empayar Makanan, Ternakan Malaysia dan juga komponen terbaharu iaitu Festival Makanan Malaysia 2017.
0 Ulasan